Kurangkan Susut Nilai Kereta, Jual Dengan Mahal

Apabila anda membeli kereta, biar baru ataupun terpakai, keputusan tersebut datang dengan tanggungjawab untuk menjaga. Selain daripada memastikan kereta berfungsi dalam keadaan optimum, ia juga untuk kurangkan susut nilai. Seterusnya kereta tersebut boleh dijual dengan harga yang tinggi pada masa hadapan.

Malangnya hal-hal kereta tidak selesai selepas urus jual beli ataupun urusan pinjaman. Selain daripada soalan “mampukah membeli?”, anda juga ambil kira soalan, “mampukah untuk menjaga?”.

Kebanyakkan anak muda terlalu fokus pada amaun pembelian kereta. Lantas, menyebabkan mereka lupa keperluan kewangan untuk menjaga dan menyelenggara kereta tersebut.

Walaupun kebanyakkan kereta baru datang dengan pakej penjagaan dan servis percuma tetapi ianya hanya buat beberapa tahun yang pertama. Selebihnya akan menjadi tanggungjawab pemilik kereta tersebut.

Selain daripada hendak memastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan baik ianya juga satu langkah penting sekiranya anda merancang untuk menjual kereta tersebut pada masa hadapan.

Teruskan membaca kerana kami akan kongsikan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi susut nilai kereta anda. Malah, langkah-langkah awal untuk kurangkan susut nilai kereta supaya boleh dijual dengan mahal pada masa hadapan.

Apa itu Susut Nilai?

Senang kata, susut nilai adalah perbezaan antara nilai asal kereta apabila baru dibeli dan nilainya pada masa kini.

Bila kiraan susut nilai bermula? Jawapannya, dari hari pertama pembelian! Malah, susut nilai kereta paling tinggi adalah dalam 5 tahun pertama. Ianya boleh mencecah hingga 30% harga asal kereta tersebut!

Sebagai contoh, sekiranya kereta Perodua Myvi yang anda beli pada tahun 2017 pada harga RM50K, kini pada tahun 2023 mungkin bernilai RM35K setelah mengambil kira 30% susut nilai.

Kurangkan Susut Nilai Kereta Anda Dengan Cara Ini

pastikan kereta diselenggara mengikut jadual untuk kurangkan susut nilai kereta

1. Jenama Kereta

Beli kereta dibawah jenama yang dipercayai! Secara umumnya, kenderaan daripada jenama yang dihormati dan bereputasi tinggi cenderung untuk mengekalkan nilai kereta mereka.

Ini adalah kerena jenama tersebut sudah mengukuhkan kedudukannya dipasaran dan telah memenangi kepercayaan konsumer.

Oleh itu, pengguna juga sanggup membayar premium untuk kereta yang mereka anggap lebih dipercayai, tahan lama dan bergaya.

Selain itu, kereta daripada jenama yang mempunyai reputasi baik selalunya disertakan dengan jaminan yang lebih baik dan mempunyai nilai jualan semula yang lebih kukuh. Jangan terkejut sekiranya kereta-kereta berjenama seperti Toyota terpakai masih dijual dengan harga yang agak tinggi walaupun sudah berusia 5 tahun.

2. Rekod Servis

Kereta yang mempunyai servis rekod baik dan sejarah selengaraan yang diselenggara dengan kerap akan memberikan anda harga jualan semula yang lebih tinggi.

Sebabnya kereta dengan sejarah servis yang lengkap dan konsisten memberikan bakal pembeli keyakinan bahawa kenderaan itu telah dijaga dengan baik. Malah, kemungkinan adanya masalah mekanikal tersembuyi juga kecil.

Selain itu, mengikut jadual penyelegaraan dengan baik juga akan memanjangkan jangka hayat kereta tersebut.

Oleh itu, pastikan semua penyelenggaraan dan pembaikan buat kereta anda dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan! Ini boleh membantu memaksimumkan nilai jualan semula kereta dan mengurangkan susut nilai kereta tersebut pada masa hadapan.

3. Tempoh Waranti

Sekiranya anda merancang untuk menjual kereta anda pada masa hadapan, lebih baik lakukannya dalam tempoh waranti kereta tersebut masih aktif.

Kereta yang mempunyai waranti aktif lebih menarik kepada bakal pembeli dan mungkin mendapat nilai jualan semula yang lebih tinggi. Ini kerana waranti aktif memberikan pembeli rasa selamat dan ketenangan fikiran buat pembeli.

Ia meyakinkan mereka bahawa jika sebarang masalah mekanikal timbul dalam tempoh jaminan, ia akan dilindungi oleh pengilang atau pengedar.

Tambahan lagi, ianya merupakan faktor besar bagi pembeli yang mengambil berat tentang potensi kos pembaikan atau penyelenggaraan.

Oleh itu, cacat tarikh luput waranti anda dan mula merancang dari sekarang!

4. Kondisi Kereta

Siapa kata luaran tidak penting? Apabila membincang soal penjualan kereta terpakai, kondisi luar dan dalam kereta memainkan peranan yang sangat besar.

Badan kereta yang bebas daripada penyok dan calar berkemungkinan lebih menarik kepada pembeli dan akan mendapat nilai jualan semula yang lebih tinggi.

Sebaliknya, kereta yang kelihatan haus atau lusuh mungkin mempunyai nilai jualan semula yang lebih rendah. Pembeli lebih teragak-agak untuk membeli kereta dengan masalah kosmetik atau mekanikal yang ketara, kerana mereka mungkin bimbang tentang potensi kos pembaikan dan penyelenggaraan.

Walaupun tampak kecil seperti bampar rosak atau kemek kecil, boleh menjejaskan nilai jualan semula kereta anda.

Oleh itu, sebelum meletakkan kereta anda untuk jualan, pastikan kereta dalam keadaan baik! Selesaikan dahulu sebarang pembaikan atau baik pulih yang perlu untuk memaksimumkan nilai jualan semulanya.

beli kereta yang ada fungsi penjimatan minyak untuk kurangkan susut nilai kereta pada masa hadapan

5. Penjimatan Minyak

Sekiranya anda bercadang untuk membeli kereta, kami sarankan agar anda membeli kereta yang mempunyai fungsi penjimatan minyak.

Rata-rata model kini menawarkan fungsi penjimatan minyak. Malah, ramai yang melihat ianya sebagai satu fungsi yang menjadi keperluan. Lebih-lebih lagi apabila harga bahan api semakin meningkat.

Kereta yang ada fungsi ‘fuel-saving’ mempunyai kos bahan api yang lebih rendah. Lantas, boleh menjimatkan wang pemilik dari semasa ke semasa.

Tambahan pula, apabila harga bahan api meningkat, kepentingan kecekapan bahan api menjadi lebih jelas, dan pembeli kereta mungkin sanggup membayar premium untuk kereta yang mendapat perbatuan gas yang baik.

6. Pilihan Konsumer

Bukan sahaja jenama kereta tetapi piihan konsumer turut memainkan peranan dalam memberikan kereta terpakai anda harga yang lebih tinggi.

Sekiranya anda menjual kereta yang lebih diminati oleh target pasaran maka, kereta anda mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk dijual dan dibeli dengan harga yang menarik.

Antara kereta terpakai yang sering menjadi pilihan pembeli adalah kereta Myvi, Axia dan Saga. Jenama-jenama seperti Honda dan Toyota juga tiada kurangnya pada mata konsumer di Malaysia.

kurangkan perbatuan untuk kurangkan susut nilai kereta anda

7. Perbatuan

Secara amnya, semakin tinggi perbatuan kereta, semakin rendah nilai jualan semulanya.

Ini kerana perbatuan yang lebih tinggi menunjukkan bahawa kereta telah dipandu lebih banyak. Oleh itu, mungkin mempunyai lebih banyak haus dan lusuh

Seterusnya potensi masalah mekanikal, dan mungkin memerlukan lebih banyak penyelenggaraan pada masa hadapan.

Kurangkan Susut Nilai Kereta, Penting Sangatkah?

Menjaga kereta anda penting bukan sahaja untuk jangka hayat dan prestasinya tetapi juga untuk nilai jualan semulanya.

Kereta yang diselenggara dengan baik lebih berkemungkinan memperoleh harga yang lebih tinggi apabila ia dijual semula berbanding kereta yang telah diabaikan.

Penyelenggaraan tetap seperti penukaran minyak, putaran tayar dan pemeriksaan brek boleh membantu memastikan kereta anda dalam keadaan baik dan mengelakkan kemungkinan masalah daripada menjadi masalah besar.

Selain itu, memastikan kereta anda bersih dan melindunginya daripada keadaan cuaca yang teruk dan faktor persekitaran seperti sinaran UV boleh membantu memelihara luaran dan dalaman serta mengekalkan penampilan keseluruhannya.

Apabila tiba masanya untuk menjual semula kereta anda, bakal pembeli lebih berkemungkinan tertarik dengan kereta yang telah diselenggara dan dijaga dengan baik. Sebabnya mereka lebih yakin bahawa kereta itu boleh berfungsi dan beroperasi dengan baik.

Ini akhirnya boleh membawa kepada harga jualan yang lebih tinggi untuk kereta anda.

Pendek kata, menjaga kereta anda boleh membantu mengekalkan nilainya dari semasa ke semasa, dan kurangkan susut nilai kereta anda. Semoga perkongsian kami ini membantu!

Layari laman web rasmi kami www.motortrader.com.my untuk membeli kereta terpakai yang berkualiti!

Baca Juga: Kereta Terpakai! 5 Model Yang Mempunyai Nilai Second Hand Tertinggi