Pinjaman Bank Kereta Terpakai, Senang atau Susah?

membuat pinjaman bank untuk kereta terpakai

Majoriti rakyat yang menetap di Malaysia akan mengambil pinjaman kereta daripada pihak bank untuk membeli kereta. Namun, tidak semua benar-benar faham dan bersedia untuk proses tersebut, lebih-lebih lagi untuk pinjam bank kereta terpakai.

Pinjaman kereta, pinjaman sewa beli atau hire purchase loan adalah pinjaman individu kepada bank apabila hendak membeli kereta. Biarpun kereta baru atau kereta terpakai.

Ia merujuk kepada penyewaan barangan dengan pilihan pembelian pada akhir tempoh pinjaman.

Pinjaman sewa beli dengan bank bermaksud peminjam akan bayar balik amaun yang telah ditetapkan dalam perjanjian termasuk kadar faedah kepada bank secara ansuran.

Dalam erti kata lain, pinjaman sewa beli ini merujuk kepada penyewaan barangan dengan pilihan untuk membeli barang tersebut pada akhir tempoh pinjaman.

Sudah menjadi kebiasaan untuk membuat pinjaman bank kerana harga kereta yang agak mahal, kecualilah anda di antara golongan T20 Malaysia yang mampu membeli kereta secara tunai.

Apabila anda membeli kereta baru terus dari pengeluar atau dealer, penjual akan bantu uruskan pinjaman kereta anda.

Namun, persoalannya, adakah prosesnya sama untuk kereta terpakai juga?

Teruskan membaca untuk ketahui lebih lanjut tentang faktor-faktor utama yang mempengaruhi permohonan pinjaman bank untuk kereta terpakai!

Langkah-Langkah Membeli Kereta Terpakai

Berikut merupakan langkah-langkah apabila anda hendak membeli kereta terpakai.

  1. Buat semakan saman untuk kereta terpakai tersebut
  2. Test drive kereta
  3. Runding dengan penjual untuk mendapatkan harga yang terbaik
  4. Bayar deposit
  5. Buat pemeriksaan puspakom
  6. Pergi ke JPJ untuk urusan pindah milik
  7. Beli Insurans Kereta Baru
  8. Penjual thumbprint untuk batalkan insurans dan roadtax kereta
  9. Anda dibenarkan oleh JPJ untuk dipindahkan nama kepada anda pada geran
  10. Bayar baki harga jualan kereta yang telah disetujui

Pinjaman kereta akan dilakukan selepas pembayaran deposit kereta. Dealer kemudianya akan bantu anda membuat pinjaman bank dan sekiranya tidak lulus maka deposit kereta akan dikembalikan.

Faktor-faktor utama Pinjaman Bank untuk Kereta Terpakai

Pinjaman bank untuk kereta terpakai diluluskan

1. Kelayakan peminjam

Secara asasnya, kelayakan untuk memohon pinjaman kereta daripada bank adalah:

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Bekerja atau bekerja sendiri di syarikat tersenarai awam dan syarikat sendirian berhad
  • Pemilik tunggal atau perkongsian dibenarkan
  • Bagi warga asing, penjamin tempatan diperlukan

Walaupun anda memenuhi kelayakan berikut, bank masih akan menilai kemampuan anda untuk bayar balik pinjaman tersebut.

Setiap bank mempunyai syarat gaji minimum yang berbeza bagi setiap permohonan pinjaman.

Pada hari ini, kebanyakkan bank meletakkan gaji bersih minimum pada RM1500. Ini bermaksud gaji yang anda terima haruslah sekurang-kurangnya RM1500 selepas ditolak EPF dan SOCSO.

Selain itu, bank juga akan mengambil kira komitmen yang ada pada nama anda seperti pinjaman PTPTN, pinjaman ASB dan lain-lain.

Sekiranya gaji bersih anda adalah RM1500 tetapi mempunyai komitmen bulanan PTPTN yang bernilai RM200, ia kemungkinan akan menjadi satu faktor permohonan pinjaman anda ditolak.

Bukan sahaja kelayakan peminjam, malah produk pinjaman yang ditawarkan oleh setiap bank juga berbeza.

Ada yang menawarkan dengan kadar bunga yang lebih rendah dan ada juga yang menawarkan peratus pinjaman yang lebih banyak.

Antara perkara yang harus diteliti adalah kadar faedah pinjaman kereta, tempoh pinjaman (tahun) dan margin pinjaman (Margin of Finance).

Oleh itu, penting untuk anda bandingkan pinjaman yang ada dipasaran. Jangan lupa untuk dapatkan pandangan ahli keluarga atau rakan-rakan anda mengenaik perkara ini!

2.  Model dan Usia Kereta

Untuk pinjaman kereta terpakai, pihak bank juga meletakkan kelayakan minimum bagi umur kereta tersebut.

Kereta yang layak untuk pinjaman bank berusia bawah 10 tahun mengikut tahun pengeluaran dan bukan pada tahun pendaftaran.

Contohnya, kereta Honda Civic dikeluarkan pada tahun 2010 dan didaftarkan oleh pemilik asal pada tahun 2012.

Apabila anda hendak membuat pinjaman bank untuk kereta ini, anda akan mendapati kereta ini tidak layak untuk pinjamanan bank. Ini adalah kerana bank akan meneliti tahun pengeluaran bukannya tahun pendaftaran.

Selain itu, umur kereta terpakai tersebut juga akan mempengaruhi tempoh pembayaran balik pinjaman anda. Semakin awal tempoh pengeluaran, semakin pendek tempoh pembayaran balik yang dikenakan.

Sebagai contoh:

  • Tahun 2007 – tempoh pinjaman maxima 5 tahun
  • Tahun 2008 – tempoh pinjaman maxima 6 tahun
  • Tahun 2009 – tempoh pinjaman maxima 7 tahun
  • Tahun 2010 – tempoh pinjaman maxima 8
  • Tahun 2011 – 2017 – tempoh pinjaman maxima 9 tahun

Anda pasti tertanya mengapa bank meletakkan syarat sebegini?

Antaranya adalah sekiranya anda tidak mampu membayar balik pinjaman sewa beli, maka kereta ini akan ditarik dan menjadi milik bank.

Sekiranya, kereta yang dibiayai tidak mempunyai nilai maka bank akan mengalami kerugian.

Kebanyakkan bank menetapkan kelayakan ini kepada semua pinjaman sewa beli.

Jika kereta yang anda mahukan tidak layak, pilihan terakhir adalah pinjaman syarikat kredit seperti AEON Credit, ELK, Boustead Credit dan pelbagai lagi.

Tetapi kadar faedah bagi pinjaman dengan syarikat kredit jauh lebih tinggi daripada pinjaman dengan bank.

Oleh itu, apabila anda mencari kereta terpakai, carilah kereta yang tidak terlalu jauh tahun pengeluarkannya.

Ini akan memudahkan pinjaman bank anda diluluskan dan mempermudahkan proses bayaran balik anda kepada pihak bank.

Baca juga: 5 Model Kereta Yang Mempunyai Nilai Second Hand Tertinggi

CCRIS untuk pinjaman bank kereta terpakai

3. Kemampuan bayar balik

Sebelum permohonan anda diluluskan, pihak bank akan meneliti Central Credit Reference Information System (CCRIS) untuk menilai kesihatan kewangan anda.

Daripada laporan CCRIS, bank atau mana-mana institusi kewangan boleh menilai status atau kedudukan kewangan anda.

Laporan CCRIS digunakan oleh pihak bank atau mana-mana institusi kewangan untuk menilai status atau kedudukan kewangan anda.

Ianya dijadikan panduan untuk mengetahui psikologi si peminjam sama ada jenis yang membayar hutang, lari daripada hutang ataupun hanya membayar separa daripada amaun bulanan.

Sekiranya anda mempunyai skor kredit CCRIS yang tidak baik maka ia mungkin akan menyukarkan pinjaman bank anda. Kebanyakkan permohonan pinjaman yang gagal pada fasa ini.

Oleh itu, sebelum membuat pinjaman kereta pastikan kos CCRIS anda berada pada tahap yang sihat!

Selain daripada itu, sekiranya nama pemohomon dalam senarai blacklist, diikhtiar muflis atau berada di bawah program Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pemohonan auto gagal.

Pinjaman Bank Kereta Terpakai, senang atau susah?

Berikut merupakan 3 faktor utama yang menyumbang pada keputusan permohonan pinjaman bank anda.

Pinjaman bank tidak sukar, ikut sahaja SOP dan langkah-langkah yang telah disediakan oleh pihak bank.

Oleh itu, pilih kereta terpakai yang sesuai dengan budget dan kemampuan anda, cari kereta terpakai yang tarikh pengeluarannya tidak melebihi 10 tahun dan jaga kesihatan kewangan anda.

Tahukah bahawa anda boleh dapatkan informasi kereta yang diperlukan ini dengan senang di Motor Traders?

Setiap paparan kereta terpakai telah dilengkapi dengan tarikh pengeluaran, harga kereta dan bayaran bulanan.

Anda tidak perlu menghubungi dealer atau owner hanya untuk mendapatkan semua informasi ini kerana di Motor Traders semuanya dihujung jari anda.

Cari dan tapis mengikut kemahuan anda di https://www.motortrader.com.my/

Share